Pelawat

10 Perkara Solat Tidak Diterima

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya dan juga tidak menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya”.

Lima Perkara Perosak Hati

"Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku." (Al-Furqan: 27-29)

Peristiwa-peristiwa Di Hari Jumaat

Hari Jumaat sangat besar di sisi Allah, bahkan lebih besar dari hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, kerana di antara malam dan siangnya tersimpan masa yang paling mustajab, tidak ada tabir penghalang doa insan terhadap Ilahi

SELAWAT SYIFA' PENYEMBUH PENYAKIT

Walaupun pernah dikatakan selawat ini boleh mendatangkan syirik, tapi ianya berlaku bila selawat ini disalahertikan dalam penterjemahannya. Menurut Dato’ Dr. Haron Din, memang terdapat sedikit kekeliruan sekiranya ianya diterjemahkan terus 'ayat by ayat'. Apa yang penting adalah kita perlu ingat bahawa segala penyakit dan musibah yang datang semua dari Allah SWT dan penyembuhnya juga dari ALLAH SWT.

Kelebihan Surah Al-Kahfi

Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan dianggapnya sahih isnad, maksudnya: "Sesiapa yang membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan baginya nur antara Jumaat tersebut hingga ke Jumaat yang seterusnya." Hadis ini dinilai sebagai hasan, kata al-Albani

Sabtu, 25 Jun 2011

Al-Farabi



Digelar Aristotle kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.

Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).

Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.

Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.

Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.

Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.

Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".

Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.

Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.

Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.

Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.

Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.

Ibnu Rusyd


Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.

Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.

Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.

Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusy dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.

Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.

Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya.

Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.

Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.

Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd termasuklah "Kulliyah fit-Thibb" yang mengandungi 16 jilid, mengenai perubatan secara umum, Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari'a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.

Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga usaha untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa lain. Buku "Kulliyah fit-Thibb" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua.

Kemudian buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul General Rules of Medicine. Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan bukan sekadar terpengaruh oleh falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham daripada pembacaan karyanya.

Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance di Perancis sehingga merobah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd keranapemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah mencetuskan revolusi di benua Eropah.

Pemikirannya memungkinkan masyarakat di sana keluar daripada zaman kegelapan menuju era kemajuan industri yang pesat. Hospital Les Quinze-Vingt yang juga merupakan hopital pertama di Paris didirikan oleh Raja Louis IX berdasarkan model hospital Sultan Nuruddin di Damsyik yang kaedah perubatannya merupakan hasil daripada idea dan pemikiran Ibnu Rusyd.

Ibnu Rusyd juga telah menulis sebuah buku mengenai muzik yang diberi judul "De Anima Aristoteles" (Commentary on the Aristotle's De Animo). Hasil karyanya ini membuktikan betapa Ibnu Rusyd begitu terpengaru dan tertarik oleh ilmu logik yang dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle.

Pembicaraan falsafah Ibnu Rusyd banyak tertumpu pada persoalan yang berkaitan dengan metafizik, terutamanya ketuhanan. Beliau telah mengemukakan idea yang bernas lagi jelas, dan melakukan pembaharuan semasa membuat huraianya mengenai perkara tersebut.

Pembaharuan ini dapat dilihat juga dalam bidang perubatan apabila Ibnu Rusyd memberi penekanan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Beberapa pandangan yang dikemukakan dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja.

Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di dalam tubuh manusia.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Ibnu Rusyd turut menjangkau bidang yang berkaitan dengan kemasyarakatan apabila beliau cuba membuat pembahagian masyarakat itu kepada dua golongan iaitu golongan elit yang terdiri daripada ahli falsafah dan masyarakat awam.

Pembahagian strata sosial ini merupakan asas pengenalan pembahagian masyarakat berdasarkan kelas seperti yang dilakukan oleh ahli falsafah terkemudian, seperti Karl Max dan mereka yang sealiran dengannya.

Apabila melihat keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, maka tidak syak lagi beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya.

wallahu 'alam...

Ibn Bajjah

Umat Islam dipercayai telah sampai ke Sepanyol pada zaman sahabat lagi. Kedatangan mereka telah berjaya mempengaruhi kehidupan masyarakat di sana khususnya dalam bidang yang berkaitan
keilmuan dan ketarnadunan. Bahkan kesan
tamadun Islam masih dapat dilihat sehingga ke
hari ini.
Sepanjang pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai

Andalusia, telah lahir ramai cendi-kiawan dan sarjana dalam pelbagai

bidang. Sebahagian mereka ialah ahli sains, matematik, astronomi,

perubatan, falsafah, sastera, dan sebagainya.

Salah seorang mereka ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh

atau lebih terkenal sebagai Ibn Bajjah. Beliau dilahirkan di Saragossa

pada tahun 1082 Masihi (M). Ibn Bajjah merupakan seorang

sasterawan dan ahli bahasa yang unggul. Dalam hal ini, beliau pernah

menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin oleh Abu

Bakr Ibrahim Ibn Tafalwit. Selain itu, Ibn Bajjah juga merupakan

seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Sungguhpun

begitu beliau juga seorang yang hafiz al-Quran.

Dalam masa yang sama, Ibn Bajjah amat terkenal dalam bidang

perubatan dan merupakan salah seorang doktor teragung yang pernah

dilahirkan di Andalusia.

Walau bagaimanapun, kehebatannya turut terserlah dalam bidang

politik sehingga beliau dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim

berkuasa di Saragossa. Lebih menakjubkan lagi apabila beliau dapat

menguasai ilmu matematik, fizik, dan falak. Pada kesempatan itu beliau

banyak menulis buku yang berkaitan dengan ilmu logik.

Kemampuannya menguasai berbagai-bagai ilmu itu menjadikannya

seorang sarjana yang teragung bahkan tiada bandingannya di Andalusia

dan barangkali di dunia Islam. Jadi, sumbangannya dalam bidang

keilmuan begitu besar sekali.

Dalam bidang falsafah umpamanya, Ibn Bajjah boleh diletakkan setaraf

dengan al-Farabi dan Aristotle. Dalam bidang ini beliau telah

mengemukakan gagasan fal­safah ketuhanan yang menetapkan bahawa

manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu

pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.

Menurut Ibnu Bajjah, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan

berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan

oleh Iman al-Ghazali. Dengan ilmu dan amalan berfikir, segala

keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin

serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah

yang bersarang dalam hati dan diri manusia.

Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan

perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama

dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Kalau masyarakat itu

tidak baik maka seseorang itu harus menyepi dan menyendiri.

Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi oleh idea-idea

al-Farabi. Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam "Risalah

al-Wida" dan kitab "Tadbir al-Muttawwahid" yang secara umumnya

merupakan pembelaan kepada karya-karya al-Farabi dan Ibn Sina

kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyepi dan

menyendiri.

Namun, ada sesetengah pengkaji mengatakan bahawa kitab tersebut

sama dengan buku "al-Madinah al'Fadhilah" yang ditulis oleh al-Farabi.

Dalam buku itu, al-Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai

politik dan falsafah. Al-Farabi semasa membicarakan tentang politik

telah mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan yang diketuai

oleh ahli falsafah diwujudkan.

Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah

kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka

hampir sependapat bahawa akal dan wahyu merupakan satu hakikat

yang padu. Sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya

hanya akan melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang pincang.

Oleh sebab itu, akal dan wahyu harus menjadi dasar dan asas

pembinaan sebuah negara serta masyarakat yang bahagia. Ibn Bajjah

berpendapat bahawa akal boleh menyebabkan manusia mengenali apa

sahaja kewujudan sama ada benda atau Tuhan. Akal boleh mengenali

dengan sendiri perkara-perkara tersebut tanpa dipengaruhi oleh

unsur-unsur kerohanian melalui amalan tasawuf.

Selain itu, Ibn Bajjah juga telah menulis sebuah buku yang berjudul

"aI-Nafs" yang membicarakan persoalan yang berkaitan dengan jiwa.

Pembicaraan itu banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah

Yunani. Oleh sebab itulah, Ibn Bajjah banyak membuat ulasan terhadap

karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi, dan al-Razi.

Minatnya dalam soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan

metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau turut

mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya.

Sewaktu membicarakan ilmu logik, Ibn Bajjah berpendapat bahawa

sesuatu yang dianggap ada itu sama ada benar-benar ada atau tidak

ada bergantung pada sama ada diyakini ada atau hanyalah suatu

kemungkinan. Justeru itu, apa yang diya­kini itulah sebenarnya satu

kebenaran dan sesuatu kemungkinan itu boleh jadi mungkin benar dan

tidak benar.

Sebenarnya, banyak perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan

menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah belajar ilmu-ilmu lain untuk

membantunya memahaminya hal-hal berkaitan dengan metafizik.

Ilmu sains dan fizik misalnya digunakan oleh Ibn Bajjah untuk

menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibn Bajjah, benda

tidak mungkin wujud tanpa rupa tetapi rupa tanpa benda mungkin

wujud. Oleh sebab itu, kita boleh menggambarkan sesuatu dalam

bentuk dan rupa yang berbeza-beza.

Kemahiran Ibn Bajjah dalam bidang matematik dan fizik sememangnya

diperakui tetapi beliau tidak cuba menyelesaikan permasalahan yang

timbul. Sebaliknya ilmu itu digunakan untuk menguatkan hujah dan

pandangannya mengenai falsafah serta persoalan metafizik.

Masih banyak lagi pemikiran falsafah Ibn Bajjah yang tidak diketahui

kerana sebahagian besar karya tulisannya telah musnah. Bahan yang

tinggal dan sampai kepada kita hanya merupakan sisa-sisa dokumen

yang berselerakan di beberapa perpustakaan di Eropah.

Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya.

Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia

sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana Barat berbuat demikian.

Begitu juga konsep masyarakat madani telah dibicarakan dalam

tulisannya secara tidak langsung.

Sesungguhnya Ibn Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat.

Sesuai dengan itu beliau telah diberikan kedudukan dan penghormatan

yang tinggi oleh orang Murabbitin.

Tetapi perasaan dengki dan cemburu telah menyebabkan beliau

diracuni dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1138 (M) dalam usia

yang masih muda. Biarpun umur Ibn Bajjah tidak panjang tetapi

sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh

kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia.




Ibn Tufail

Ahli falsafah yang mendahului zaman.


Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.

Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.


Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.

Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida al-Thaan", tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.

Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.

Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah "Hay ibn Yaqzan" yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.

Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.

Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.

Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.

Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab "al-Mutawwahid". Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.

Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.

Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.

wallahu 'alam

Badi'uzzaman Sa'id Nursi

Tokoh Mujahid dan Mujadid Islam Abad ke 14H
Badi'uzzaman Sa'id Nursi


Setelah enam ratus tahun bertapak sebagai sebuah kerajaan agung, sejarah menyaksikan detik detik kemuncak kelemahan Kerajaan Uthmaniyah. Sebenarnya detik yang berlaku disekitar awal abad ke 14H itu, diancam oleh pelbagai serangan dalaman dan luaran secara terancang.

Detik tanggal tahun 1924, merupakan sejarah hitam buat Kerajaan

Uthmaniyah apabila Kamal Ataturk menguasai Turki. Sistem Khalifah

yang menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat

pengaruh Barat pimpinannya.

Pada ketika itulah muncul tokoh ilmuwan terulung dalam sejarah Turki

iaitu Badi'uzzaman Sa'id Nursi. Beliau telah mengorbankan seluruh

kehidupannya demi perjuangan untuk mengembalikan keagungan Islam

yang musnah itu.

Ketika itu, agama dilihat sebagai faktor kemunduran dan kelemahan

umat. Fahaman sekularisme, materialisme, dan ateisme pula diterima

baik oleh masyarakat tempatan atas nama kebebasan dan kemajuan.

Badi'uzzaman atau nama sebenar Sa'id bin Mirza dilahirkan pada tahun

1876 (1294H) di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan,

Turki. Beliau juga dikenali sebagai Sa'id al-Nursi yang merujuk kepada

tempat kelahirannya.

Nursi dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang hidup serba

sederhana. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka dikatakan

berasal daripada salasilah keturunan Ahl dl-Bayt. Nursi pernah diberi

gelaran Badi'azzaman (Keunggulan Zaman) oleh gurunya, Syeikh

Fathu'llah. Walau bagaimanapun Nursi menolak kerana merasakan

dirinya belum layak menerima gelaran itu.

Sejak kecil lagi Nursi telah memperlihatkan minatnya untuk menimba

ilmu pengetahuan. Beliau sangat gemar menghadiri majlis perbincangan

ilmu antara ulama yang sering diadakan di rumah ayahnya. Suasana

keilmuan ini memberikan pengaruh yang besar pada jiwa dan pemikiran

Nursi. Minatnya itu menyuburkan pemikiran analisis-kritis, dialog, dan

perdebatan.

Nursi mula merantau ketika umurnya sembilan tahun dalam usahanya

untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan ramai

alim ulama termasuk Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid

bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Muhammad al-Jalali,

Nursi telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti

Jam' al-Jawami, Sharh al-M.awaqif, dan Ibn Hajar.

Disinilah bermulanya proses awal perkembangan dan pembentukan

pemikiran Nursi. Peluang di peringkat ini amat berharga pada Nursi, lalu

sentiasa meneruskan pengajian dengan beberapa orang tokoh ilmuwan

terkenal. Keterampilan beliau mula menampakkan ketokohan sebagai

seorang ulama, lalu dikenali waktu itu sebagai ulama muda yang hebat.

Gabenor Bitlis, Umar Basha sangat mencintai ilmu dan memuliakan ulama.

Oleh sebab itu beliau mempelawa Nursi supaya tinggal di kediaman

beliau yang mempunyai sebuah perpustakaan besar. Nursi tidak

melepaskan peluang itu demi memenuhi cita-citanya. Umar Basha

memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami dan menghafal

kitab-kitab seperti aI-MataIi, al-Mawaaif, dan al-Mirqat. Dalam tempoh

dua tahun di kediaman Gabenor itu, beliau telah berjaya menguasai ilmu

al-kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqh dengan mantap.

Tetapi, minatnya untuk meneruskan usaha memperluaskan ilmu

pengetahuan menyebabkan beliau meninggalkan Bitlis. Dalam

pengembaraannya itu beliau menyambut pelawaan Gabenor Hasan

Basha untuk berkhidmat di Wan sebagai ulama iaitu pada tahun 1897

(1314H).

Setelah beberapa ketika tinggal di kediaman Hasan Basha, Nursi sekali

lagi dijemput untuk tinggal di kediaman Tahir Basha, Gabenor baru di

Wan. Ketika berada di Wan, Nursi sempat bertemu dan berdialog

dengan tokoh-tokoh ilmuwan moden. Kerana menyedari kelemahannya

dalam bidang ilmu moden, mendorong beliau berusaha mempelajari dan

mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia, biologi, ilmu kaji

bumi, dan astronomi.

Selain ilmu sains beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik,

geografi, dan falsafah moden. Setelah menguasai bidang agama dan

ilmu sains moden, sekali lagi Nursi diberi gelaran sebagai Badi'uzzaman.

Gelaran tersebut diterima bahkan dijadikan sebahagian daripada nama

beliau.

Pengalamannya semasa menuntut ilmu memberikan kesedaran pada

beliau betapa perlunya dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan.

Oleh sebab itu, beliau telah bertindak menggabungkan dua cabang ilmu

iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden yang sebelum itu telah

dipisahkan.

Nursi berazam untuk mengubah persepsi negatif masyarakat yang

berpandangan bahawa ilmu agama dan ilmu sains moden tidak boleh

digabungkan. Pendekatan beliau ini dilaksanakan semasa kerjayanya

sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah

Khur Khur.

Nursi berpendirian bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua

cabang ilmu tersebut demi masa depan umat Islam seluruhnya. Beliau

juga gigih berusaha untuk menubuhkan universiti yang akan dinamakan

Madrasat al-Zahra di Timur Turki. Walau bagaimanapun, usaha beliau

itu gagal kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada golongan

yang berpengaruh di Istanbul.

Sungguhpun begitu, Nursi terus berusaha untuk merealisasikan diri

umat Islam sebagai "Umat Contoh". Pengamatan dan kesedaran Nursi

itu telah mendorong beliau mengatur gerakan ke arah mereformasi

sistem pendidikan yang wujud pada zamannya. Beliau berpendirian

teguh bahawa dalam dunia moden hari ini, ilmu-ilmu agama dan

ilmu-ilmu sains moden perlu bergerak seiring.

Apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik pada

29 Oktober 1923, Turki bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular.

Kamal Ataturk melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan

fahaman sekularisme yang anti-Islam.

Untuk menentang dasar itu, Nursi kemudiannya menyokong

pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar dapat

melaksanakan pemerintahan yang adil dan sedikit kebebasan diberikan

kepada gerakan Islam. Menurut Nursi, sekiranya Kerajaan Sekular boleh

membenarkan fahaman ateis, mengapa tidak dibenarkan Islam bergerak

dengan bebas.

Nursi mempunyai pandangan yang lain tentang konsep "kebebasan"

yang dilihatnya sebagai satu keperluan asas. Keperluan ini harus

dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun, konsep "kebebasan"

itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan memandangkan pengisian maksud

"kebebasan" yang tidak selari dengan peraturan Islam.

Atas hasrat inilah ketika perisytiharan perlembagaan negara, Nursi

berjuang untuk menegakkan corak pemerintahan berasaskan

Perlembagaan yang berteraskan kepada syariat Islam. Walau

bagaimanapun, perjuangan suci beliau itu mendapat tentangan daripada

golongan yang masih belum memahami kehebatan isi kandungan

al-Quran.

Nursi berpandangan bahawa kesedaran serta kefahaman yang jelas

perlu diusahakan meskipun memakan masa yang panjang. Yang penting

isi kandungan al-Quran benar-benar difahami. Beliau menyedari bahawa

kekerasan hanya mencetuskan permusuhan dan tidak membawa

sebarang kebaikan kepada manusia.

Dalam usaha itu, Nursi menyeru umat Islam agar menilai golongan yang

masih ragu-ragu terhadap Islam. Mereka perlu dikenal pasti sama ada

dalam kalangan umat Islam mahupun kaum bukan Islam. Mereka yang

terlibat itu dianggap sebagai satu golongan yang memerlukan bantuan

dan tunjuk ajar daripada umat Islam. Beliau sama sekali tidak mahu

terus melabelkan mereka sebagai musuh. Melalui kaedah ini, seruan

Islam lebih mudah disampaikan dan dapat diterima baik oleh masyarakat.

Rasa'il al-Niir merupakan karya teragung Nursi yang merupakan

khazanah berharga sumbangan pemikiran beliau. Karya agung ini

seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sepanjang zaman.

Sebenarnya, Rasa'il al-Nur merupakan satu tafsiran terhadap maksud

al-Quran al-Karim. Secara umum isi kandungan kitab ini merangkumi

persoalan keimanan.

Menurut Nursi, satu-satunya rujukan dalam menghasilkan kitab

Rasa'il al-Nur ini ialah kitab suci al-Quran al-Karim. Antara persoalan

yang menjadi kupasan dalam karyanya itu ialah seperti ilmu

Mustalah al'Hadith, falsafah, Ilm al-Kalam, dan ilmu Tasawuf.

Dalam perbahasan mengenai Mustalah al-Hadith, Nursi menekankan

hadith-hadith yang sering dipertikaikan masyarakat. Di sini, beliau telah

mengemukakan perbahasan yang menarik. Antara yang dibahaskan

ialah yang berkaitan dengan kisah Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s, Imam

Mahdi, Nabi Khaidir, Malaikat, tanda-tanda kiamat, dan sebagainya.

Dalam memperkatakan tentang falsafah, Nursi dalam risalah

al-Madfchol ila al-Nur menulis bahawa falsafah yang ditentang ialah

falsafah yang merosakkan manusia dan yang menentang agama. Oleh

sebab itulah, pelajar-pelajar aliran falsafah moden tidak menentang

Rasa'il al-Nitr, malah mereka sama-sama menyokong kandungan

Rasa'il al-Nur tanpa sebarang keraguan.

Rasa'il al-Nur turut memuatkan perbahasan mengenai Ilm

al-Kalam. Dalam risalah al-Maktubat misalnya, Nursi menulis

bahawa ma'rrfatullah yang dibentangkan oleh al-Razi melalui

kaedah Ilm al-Kalam itu mengandungi kelemahan dan

kekurangan pada pandangan Ibn al-Arabi. Ma'rifatullah yang

terhasil melalui jalan Tasawuf juga mempunyai kelemahan jika

dibandingkan dengan ma'rifah yang dibentangkan oleh pewaris

nabi. Ulama pewaris nabi dalam kupasannya ialah mereka yang

menurut manhaj al-Quran.

Rasa'il al-Nur juga memuatkan ajaran tasawuf. Tetapi kupasan

mengenainya tidak bermaksud menjadikan pembaca seorang ahli sufi.

Dalam hal ini, Nursi sering kali menyebut bahawa zaman ini bukan

zaman tasawuf atau tarekat, sebaliknya merupakan zaman untuk

menyelamatkan iman umat manusia.

Jelas dalam karya itu, beliau menyifatkan bahawa manusia tidak

mungkin dapat memasuki syurga tanpa iman, tetapi ramai juga yang

dapat memasuki syurga tanpa tasawuf. Manusia sememangnya tidak

dapat hidup tanpa roti (gandum), tetapi mereka boleh hidup tanpa

buah. Maka tasawuf itu ialah buah manakala hakikat Islam (keimanan)

itu ialah roti.

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa sesungguhnya jika sekiranya

Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani dan Syeikh al-Naqshaband (pengasas

Tarekat Naqshabandiyah), Imam Rabbani, dan yang seumpama mereka,

hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala

kemampuan untuk memperteguh hakikat keimanan dan akidah Islam.

Hal ini demikian kerana kedua-duanya (iman dan akidah) sumber kepada

kebahagiaan yang sebenar dan abadi.

Rasa'il al-Nur mendapat sambutan yang baik dalam kalangan

umat Islam Turki dan juga mereka yang berada dinegara-negara

lain. Memandangkan isi kandungannya mempunyai

keistimewaan dan kelebihan tersendiri, kitab ini perlu disebar

kepada umat Islam di seluruh dunia. Menyedari kepentingan

ilmu, kitab Rosa'il al-Nitr ini diterjemahkan ke dalam beberapa

bahasa lain. Di samping bahasa Arab dan Inggeris, kitab

Rasa'il al-Nur juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman,

Itali, Perancis, Rusia, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India,

Malaysia, dan beberapa bahasa lain Asia Tengah.

Kegigihan perjuangan ulama Islam silam walaupun menemui kegagalan

perlu diteladani oleh umat Islam akhir zaman ini. Yang paling penting,

masyarakat Islam boleh menilai kelemahan dan kekurangan masyarakat

ketika itu.

Perjuangan Badi'uzzaman Sa'id Nursi walaupun bermula sebelum

kemenangan Kamal Ataturk, namun umat Islam pada zaman itu terlalu

jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Oleh sebab banyak

usaha beliau ketika itu mendapat banyak tentangan daripada banyak

pihak. Tetapi seandainya umat Islam ketika itu mahu mengikut saranan

Badi'uzzaman sudah pasti Kamal Atartuk dapat dikalahkan dengan

mudah.

Oleh sebab itu, perjuangan Badi'uzzaman ini perlu disebarluaskan dalam

kalangan umat Islam agar dapat dijadikan panduan dalam memperkasa

iman dan akidah umat Islam. Supaya peristiwa itu tidak berlaku lagi,

maka wajar umat Islam di negara ini menilai saranan tokoh ini. Antara

saranannya yang penting ialah supaya umat Islam menguasai ilmu sains

moden yang diasaskan atas dasar islamisasi.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More